Tahukah anda untuk menghasilkan satu tan kertas, 17 pohon pokok terpaksa ditebang?
Bagi menyedarkan pelajar tentang kepentingan kitar semula bahan terbuang ini, seramai 40 orang pelajar SMK Bangsar telah dibawa ke kilang mengitar semula kertas di Shah Alam. Di sana, pelajar didedahkan kepada bagaimana kertas-kertas, kotak, suratkhabar yang telah dibuang menjalani proses kitar semula.

Semua jenis kertas sama ada yang berwarna ataupun yang tidak berwarna, seperti suratkhabar lama, majalah lama, buku, katalog, risalah, kalendar, kad, sampul surat dan kotak boleh dikitar semula.


Kertas-kertas yang dikumpulkan tadi dihantar ke tempat pemprosesan di mana pada mulanya proses mencampurkan air dengan bahan kimia akan dilaksanakan untuk membantu dalam proses penghancuran sebelum dibersihkan daripada kotoran yang nyata. Kertasyang dihancurkan tadi dinyahkan dakwat yang terkandung di dalamnya, sebelum menjalani proses pembersihan selanjutnya iaitu proses penapisan dan pencerahan.


Kemudian, hasil yang diperolehi daripada proses di atas dicampurkan dengan air lalu dipamkan ke bahagian hujung basah mesin membuat kertas. Kertaskemudiannya diratakan oleh mesin pelembut kertas sebelum digulung menjadi satu gulungan kertas yang besar.