Pada 15 Mei 2010 iaitu pada hari Sabtu, sekolah kami telah mengadakan satu program Gotong-Royong Perdana yang telah melibatkan semua guru SMK Bangsar, kakitangan SMK Bangsar, pekerja kantin dan sebilangan pelajar-pelajar SMK Bangsar. Pendek kata satu sekolah terlibat..Tujuan kami mengadakan program ini adalah untuk memastikan kawasan persekitaran sekolah kami berada dalam keadaan yang bersih, sihat dan bebas dari pelbagai wabak penyakit bagi menjamin satu suasana yang kondusif dan selesa untuk menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran.Tema gotong royong kali ini ialah Bersih diri,Bersih peribadi,Bersih tempat belajar.

Dalam aktiviti gotong-royong ini,kami mempraktikkan amalan kitar semula. Bahan buangan dan sampah-sarap diasingkan mengikut kategori masing-masing.Program kitar semula dapat mengurangkan kuantiti sampah kerana bahan buangan seperti surat khabar, botol minuman dan besi boleh dikitar semula dan diproses menjadi bahan mentah untuk kegunaan pelbagai industri.

Selain daripada warga SMK Bangsar, Syarikat Swasta dan Agensi Luar turut melibatkan diri dalam program Gotong-Royong Perdana ini. Antara syarikat terbabit ialah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),Alam Flora SDN BHD,Syarikat Keselamatan Sekolah,Syarikat Pembersihan Sekolah,Polis Diraja Malaysia (IPD Brickfields / Balai Polis Bangsar) dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Jutaan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kami ucapkan kepada mereka kerana sudi membantu dan memeriahkan lagi program gotong-royong sekolah kami. Terima kasih daun keladi, kalau sudi bekerjasamalah lagi..

5 orang pelajar bagi setiap kelas telah ditugaskan untuk membersihkan dan menceriakan kelas masing-masing manakala sebahagian pelajar lagi telah menolong guru-guru untuk membersihkan kawasan persekitaran. Hanya 5 orang pelajar sahaja yang dibenarkan bagi satu kelas kerana kami mementingkan kualiti daripada kuantiti. Jika ramai yang terlibat dalam satu kelas, aktiviti menceria dan membersihkan kelas akan bertukar kepada aktiviti bersembang dan membuat kecoh di dalam kelas.

Para pelajar memang ringan tulang..Semuanya bersemangat untuk memastikan kawasan tempat mereka belajar dikelilingi oleh udara yang bersih dan segar. Ada yang mengangkat barang, membuang sampah, menyapu sampah, mencuci longkang dan sebagainya.Bukan main gembira diorang dapat menolong sama, buktinya tengoklah gambar kat bawah ni.. walaupun badan penat, tetapi mereka tetap ceria menjalankan tugas.

Syarikat-syarikat swasta yang terlibat pun apa kurangnya..turut bersemangat turun padang membantu kami.Pihak DBKL bersama kontraktor pembersihan mereka, Syarikat Alam Flora telah banyak membantu kami.Peralatan yang kami pinjam daripada pihak DBKL seperti pangkis,cangkul,penyodok,penyapu lidi dan kereta sorong banyak membantu memudahkan kerja kami. Pihak DBKL juga turut menyediakan lori bagi mengangkut sampah dari sekolah kami ke tempat pelupusan sampah. Fogging juga dilakukan bagi memastikan kawasan sekolah kami bebas daripada sebarang wabak yang boleh membawa penyakit.

Jam 12.30 tengahari, siaplah aktiviti gotong-royong kami ini.